Suasana pilihan raya Pilihan_raya_kecil_Bukit_Gantang_2009

Pra pilihan raya

Pakatan Rakyat mendakwa jurang tempoh menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipengaruhi Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Tarikh 7 April 2009 dipilih untuk mengadakan pilihan raya adalah untuk memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijadualkan selepas Perhimpunan Agung UMNO pada 26 Mac 2009. PR mendakwa jika pilihan raya kecil diadakan sebelum perhimpunan agung dan kemungkinan Barisan Nasional (BN) kalah bagi kedua-dua kawasan itu, imej Najib sebagai bakal Perdana Menteri akan terjejas.[14]

Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan Kementerian Dalam Negeri menggantung dua akhbar Pakatan Rakyat selama tiga bulan. PR menganggap tindakan menggangtung akhbar rasmi PAS, Harakah dan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan secara langsung menghalang kempen media kedua-dua parti bagi menghadapi tiga pilihanraya kecil.[15] Kementerian Dalam Negeri berkata Harakah milik PAS dan Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) didapati kerap kali mengeluarkan artikel yang mempersoalkan kedudukan raja-raja selain cenderung mengsensasikan berita-berita yang berunsur fitnah dan mengelirukan yang mewujudkan salah faham di kalangan masyarakat.[16]

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendekatan projek pembangunan ‘mi segera’ yang setiap kali dijalankan UMNO dan Barisan Nasional dalam masa kempen pilihan raya tidak diamalkan di tiga pilihan raya kecil 2009 kerana usaha membantu rakyat miskin merupakan tugas berterusan dan melibatkan pembangunan bersepadu dalam jangka panjang.[17]

Hari penamaan calon

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil P059, Parlimen Bukit Gantang, Datuk Mahmood Morshidi mengumumkan dan mengesahkan tiga calon bertanding iaitu dari Barisan Nasional, PAS dan calon Bebas. Majlis pengisytiharan tersebut dibuat di Dewan Majlis Perbandaran Taiping.[18]

Kempen pilihan raya

Malaysiakini.com dalam rencana tanpa nama pengarang, mengecam Barisan Nasional kerana menggunakan tiga penari berpakaian seksi untuk memancing undi dalam satu majlis makan malam di Bukit Gantang. Ia mendakwa bahawa pemimpin UMNO Zahid Hamidi telah menghina kaum Tionghua dengan mendakwa persembahan seksi sebegitu adalah sebahagian daripada budaya kaum Tionghua dan ia diadakan bagi "menghormati" mereka. [19][20]

PAS dan Pakatan Rakyat turut melihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang sebagai referendum terhadap Barisan Nasional yang dituduh Pakatan Rakyat sebagai mengambil alih kerajaan negeri.[21]

Malaysiakini dalam rencana tanpa nama pengarang, turut mendakwa penyokong Umno cuba mencabul petugas PKR pada 5 April 2009, dengan cuba melondehkan seluarnya di bilik gerakan Barisan Nasional.[22]

Akibat akhbar mereka digantung, PAS dan PKR masing-masing menerbitkan akhbar pengganti yang diberi nama Hujah dan Suara Keamanan.[23] Para wartawan Harakah berkempen dengan memakai baju T hitam khas dengan logo "23.3 Gantung!" sepanjang hari bekerja sebagai tanda bantahan dalam tempoh tiga bulan tindakan tersebut termasuk semasa berkempen di Bukit Gantang. Walau bagaimanapun, selelah Perdana Menteri baru menjawat jawatannya pada 3 April 2009, larangan kedua-dua akhbar itu ditarik balik. Selain itu beliau juga membebaskan 13 tahanan ISA di Perak.[24]

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengatakan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan keputusan Sultan Perak dilarang untuk dibangkitkan oleh parti-parti yang bertanding dalam kempen tiga pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Syarat baru itu dinyatakan sebagai perkara 3.5 dan 3.6. Syarat 3.5 mengatakan bahawa penceramah tidak boleh menghasut serta mempersoal keputusan yang dibuat oleh Institusi Raja manakala syarat 3.6 pula berkata 'tidak boleh sentuh isu Altantuya, isu perkauman dan isu keagamaan'. Dalam pada itu, syarat 3.7 pula berkata, 'kehadiran orang ramai adalah tanggungjawab pihak penganjur untuk mengawal mereka, jika kehadiran melimpah hingga di luar kawasan permit yang dipohon, pihak polis akan mengambil tindakan'.[25]

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat penampilan sulung membantu calon BN di Institut Kemahiran Mara Sungai Petani setelah menyertai UMNO selepas Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah jawatan.[26]

Hari pengundian

Hanya calon BN, ismail Safiam yang boleh mengundi pada pilihan raya kali ini. Beliau dan isterinya berbuat demikian di SK Panglima Bukit Gantang pada 9.05 pagi.[27]

Rujukan

WikiPedia: Pilihan_raya_kecil_Bukit_Gantang_2009 http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php...